Orang ramai membeli keperluan harian menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan surau Jamiah, Meru Klang pada 25 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wujud pusat sehenti jualan murah di setiap DUN, mudah dapat barangan setiap hari

KLANG, 25 JAN: Kewujudan pusat sehenti Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan barangan jualan murah berkenaan.

Mdtumusa Sadeli, 48, berkata jika ada pusat sehenti ia memudahkan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah setiap hari.

Mdtumusa Sadeli, 48. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ini kali kedua saya ke jualan murah, sebelum ini pernah pergi di Kapar memang sangat murah dan berbaloi malah barangan pun berkualiti.

“Bagus jika JER ada kedai di sesebuah DUN supaya lebih mudah kami mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah,” katanya ditemui di JER DUN Meru di Surau Jamiah, Persiaran Hamzah Alang di sini hari ini.

Suri rumah Masinah Sahid, 63, yang pertama kali berkunjung ke jualan murah itu turut mengakui harga barangan murah berbanding di pasaran.

Masinah Sahid, 63. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Hari ini saya belanja tak sampai RM100 boleh dapat telur dua papan, ayam dua ekor, minyak masak dua botol, memang sangat murah. Harap diteruskan kerana ia membantu rakyat kurang mampu,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta Zarul Redha, 31, berkata hari ini dia baharu berkesempatan membeli di JER meskipun sudah banyak kali melihat poster jualan murah itu di merata tempat.

Zarul Redha, 31. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Memang murah, hari ini saya belanja RM65, dapat ayam dua ekor, ikan, telur dua papan dan sayur-sayuran sedikit, selepas ini saya mahu pergi lagi jika ada di kawasan berhampiran,” katanya.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diteruskan dari 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Program jualan murah itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di hampir 700 lokasi dan 56 DUN.

Petugas PKPS menyusun barangan jualan Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan Surau Jamiah, Meru Klang pada 25 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :