Oleh AZIAN AZIZ
AMPANG JAYA, 4 FEB: Hampir 10 tan minyak masak terpakai dan 12 tan sisa barangan elektrik atau elektronik (e-waste) dikumpulkan dalam pertandingan Hari Alam Sekitar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tahun lalu.
Yang Dipertuanya berkata pertandingan yang bermula April hingga Disember tahun lalu mendapat 47 penyertaan daripada komuniti termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Malam ini kita meraikan para peserta dan memberi penghargaan kepada pemenang. Tahniah dan terima kasih kepada para peserta yang menunjukkan semangat dan iltizam yang tinggi untuk menjayakan pertandingan ini,’’ kata Mohd Fauzi Mohd Yatim dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Alam Sekitar MPAJ di Auditorium Menara MPAJ di sini malam tadi.
EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian yang merasmikan majlis berkenaan turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi lapan kategori yang dipertandingankan.

Sekolah Kebangsaan Ampang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Melawati masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 apabila diumumkan sebagai juara keseluruhan kategori pengumpulan minyak masak terpakai dan pengumpulan e-waste.
Mohd Fauzi memberitahu penglibatan pihak komuniti turut membantu menghidupkan pusat pengumpulan minyak masak terpakai di kawasan masing-masing.
“Sehingga kini sebanyak 44 pusat pengumpulan ditubuhkan di seluruh kawasan MPAJ dan sepanjang tahun lepas hampir 10 tan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan daripada kesemua pusat-pusat pengumpulan ini.
“Kesemua sisa minyak masak terpakai dan e-waste ini dilupuskan oleh vendor bertauliah bawah lantikan Kerajaan Negeri dan vendor berlesen bawah Jabatan Alam Sekitar Selangor,’’ ujarnya.

Mohd Fauzi menjelaskan, kedua-dua sisa minyak masak terpakai dan e-waste adalah sisa bahan yang boleh menyebabkan pencemaran teruk kepada alam sekitar dan perlu dilupuskan dengan kaedah serta pengurusan yang betul.
“Justeru MPAJ berhasrat untuk meluaskan lagi program ini dengan penglibatan lebih ramai komuniti dan pihak sekolah di seluruh kawasan MPAJ ini.
“Semoga persekitaran kita akan menjadi lebih bersih serta lestari dan secara tidak langsung anak-anak kita dapat dididik untuk sentiasa prihatin kepada alam sekitar,’’ katanya.