Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar mengagihkan baucar RM5 kepada pengunjung Jualan Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal di Padang Bola Putra, Hulu Langat pada 1 Februari 2023. Foto Facebook Mazwan Johar
ADNSELANGOR

100 pengunjung terawal jualan murah DUN Sungai Ramal dapat baucar RM5

SHAH ALAM, 1 FEB: Seramai 100 pengunjung terawal Jelajah Ehsan Rakyat  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal menerima baucar RM5.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata sumbangan itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung membeli barangan pada harga lebih murah.

“Meskipun harga ditawarkan dalam jualan ini sudah murah tetapi kita ambil inisiatif untuk beri lagi baucar bagi membantu dan meringankan beban pembeli,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memuji dan berharap jualan berkenaan diteruskan kerana ia membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

“Rata-rata pengunjung memberi maklum balas positif terhadap inisiatif ini dan berharap ia dapat dianjurkan secara kerap,” katanya.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :