Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

103,655 pengguna daftar aplikasi CEPat babit lebih 2 juta transaksi

SHAH ALAM, 7 FEB: Seramai 103,655 pengguna berdaftar dengan aplikasi pembayaran elektronik berpusat Citizen E-Payment (CEPat) sejak diperkenal pada 2019.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata penggunaan aplikasi tanpa tunai itu membabitkan 2.18 juta transaksi setakat 31 Disember lalu.

“Jumlah penggunaan aplikasi ini bertambah dari semasa ke semasa. Kita terus mempergiatkan promosi supaya lebih ramai rakyat Selangor memuat turun dan menggunakannya,” kata Ahmad Akmal Hamzah ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memperkenalkan modul pembayaran cukai tanah dan petak sebagai fungsi tambahan dalam aplikasi tersebut.

“Untuk penambahbaikan, kita akan lancarkan modul pembayaran oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS). Di pihak SSDU kita sudah bersedia, cuma menunggu pengumuman PTGS bila ia boleh mula digunakan,” katanya.

Dilancar pada 1 Ogos 2019, CEPat menawarkan kemudahan permohonan lesen, bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir dan bayaran bil utiliti.

Sehingga kini terdapat 62 perkhidmatan ditawar dalam aplikasi berkenaan meliputi 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tujuh medium pembayaran tersedia untuk pilihan pengguna.

Transaksi tanpa tunai itu boleh dimuat turun melalui PlayStore bagi pengguna Andorid dan AppStore bagi iOS.

 


Pengarang :