Orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan pada program Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

15 program jualan murah beri manfaat lebih 4,500 keluarga DUN Paya Jaras

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 11 FEB: Lebih 4,500 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dijangka menerima manfaat program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri.

Penyelaras DUN Norhisham Hassan berkata pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan 15 program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di lokasi terpilih dalam DUN Paya Jaras tahun ini bermula sejak Januari lalu.

Norhisham Hassan

“Kita akan anjur 15 program jualan murah tahun ini dengan sasaran tiga program seminggu, memandangkan kita berjaya anjurkan 15 program JER sepanjang tahun lalu.

“Lima program jualan murah telah selesai, penduduk di DUN Paya Jaras boleh menyemak jadual 10 lagi program akan datang di Facebook PKPS,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Menurut Norhisham, program jualan murah itu mendapat sambutan daripada penduduk di DUN Paya Jaras yang hadir seawal 7 pagi di lokasi penganjuran walaupun jualan hanya bermula 10 pagi.

Orang ramai membeli barangan keperluan yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :