Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

18 pengunjung premis hiburan ditahan atas pelbagai kesalahan dadah

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Seramai 18 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Brickfields di sini ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata serbuan pada pukul 1.15 pagi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Tangkapan itu melibatkan tiga lelaki tempatan dan 15 warga asing termasuk 12 wanita berumur lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Serbuan turut membawa polis kepada rampasan dadah jenis cecair methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) sebanyak 14.77 liter, 441.6 gram (g) serbuk MDMA dan 7.6g ketamin,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Amihizam berkata dua daripada suspek direman sehingga 12 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 16 lagi direman sehingga 9 Februari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan 15(1)(a) akta sama.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM13,810 ini boleh dibekalkan kepada 150 penagih dan polis masih menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan.

“Pemeriksaan rekod jenayah ke atas semua tahanan juga masih dijalankan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan rampasan dadah ini boleh menghubungi 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :