Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor pada 21 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

200 papan telur, 300 ayam habis dalam sejam di jualan murah DUN Bukit Melawati

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 21 FEB: Sebanyak 200 papan telur, 300 ayam dan 200 kampit beras terjual dalam tempoh sejam di Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati hari ini.

Pengurus pentadbiran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata pihaknya mengehadkan seekor ayam dan sepapan telur untuk setiap pembeli bagi memastikan lebih ramai dapat manfaat.

“Jika tidak sudah pasti 500 ayam dan 300 papan habis awal dan ramai yang tidak berpeluang beli. Kita mahu berlaku adil pada semua,” kata Siti Aishah Mat Arif.

Bertempat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini, program yang bermula jam 10 pagi menyaksikan lebih 400 pengunjung sekitar DUN Bukit Melawati hadir bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

Jualan murah yang memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor menerusi siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN diteruskan ke sembilan lokasi setiap hari sejak 16 Januari lalu.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :