Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan menyusun sebahagian barangan keperluan asas yang dijual murah sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Dataran Desa Sepakat, Petaling Jaya pada 1 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

300 kampit beras habis dalam sejam di jualan murah DUN Taman Medan

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 1 FEB: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri di Dataran Desa Sepakat di sini, mendapat sambutan orang ramai susulan cuti umum Hari Wilayah Persekutuan.

Program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan itu menyaksikan 300 kampit beras dan papan telur habis terjual dalam tempoh sejam.

Pengurus Audit Dalam Integriti dan Pengurusan Risiko Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Faradina Hairudin berkata orang ramai beratur awal bermula 7.20 pagi untuk membeli barangan dalam program berkenaan.

“Program sepatutnya bermula 10 pagi namun kita ambil keputusan mulakan pada 9.30 pagi memandangkan pengunjung beratur panjang.

“Tak sangka beras jadi barangan terlaris di sini selain ayam dan telur. Dalam sejam jualan bermula hampir 250 kampit beras habis terjual,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pengurus Audit Dalam Integriti dan Pengurusan Risiko Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Faradina Hairudin. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Faradina berkata pihaknya mengehadkan pembelian seekor ayam dan sepapan telur untuk setiap pembeli bagi memastikan semua mendapat barangan keperluan dan inisiatif itu membuka ruang kepada mereka yang datang lewat ke lokasi.

“Kebiasaannya mereka yang lewat pulang dengan tangan kosong tetapi dengan cara ini kita pastikan semua mendapat barangan sama. Pembeli ulangan hanya dibenarkan sekiranya terdapat baki barangan,” katanya.

Jelajah Ehsan Rakyat dikendalikan PKPS itu turut menawarkan jualan 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek), 150 botol minyak masak 5kg (RM25), 300 kampit beras 5kg (RM10) dan 300 pek ikan kembung (RM6 per pek).

Program jualan murah itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.

Pada 13 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program selama tiga bulan mulai 15 Januari dan jelajah siri kedua itu memberi manfaat kira-kira 800,000 penduduk.


Pengarang :