Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru, Ampang Jaya pada 23 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

4,000 terima manfaat jualan murah, 14 program lagi menanti di Pandan Indah

Oleh AZIAN AZIZ

CHERAS, 24 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mengatur 14 program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) lagi untuk penduduk sepanjang Mac depan.

Pengurus PKM DUN Pandan Indah Nariza Zain berkata program dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu akan dijalankan purata tiga kali seminggu.

“Kita cuba memenuhi permintaan penduduk untuk mengadakan lebih banyak program jualan murah. Semoga segala diatur dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan (B40).

“Sebelum ini ia telah memberi manfaat kepada 4,000 keluarga di sini,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru semalam.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah Nariza Zain. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Nariza, sejak Januari lalu hingga kini, pihaknya telah menjalankan tujuh program dan berbaki satu lagi pada 28 Februari di Cheras Indah.

“Sepanjang tempoh tersebut sambutan diterima menggalakkan dengan setiap program dihadiri purata 500 orang,” jelasnya.

Jualan murah bermula 10 pagi hingga 1 petang menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian PKPS itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan pada September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :