Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara, Shah Alam pada 17 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

4,694 unit Rumah Idaman Kwasa Damansara perluas milikan kediaman selesa

SHAH ALAM, 17 FEB: Satu lagi projek Rumah SelangorKu Idaman dibangunkan di Kwasa Damansara, Kota Damansara bagi membantu penduduk memiliki kediaman selesa dan berkualiti.

Dato’ Menteri Besar berkata pembinaan 4,694 unit rumah mampu milik berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur serta pelbagai kemudahan lain dijual pada harga RM250,000.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, projek kendalian Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bersama anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kwasa Land Sdn Bhd dibina di kawasan seluas 39.12 ekar dan dijangka siap menjelang 2026.

“Ini merupakan projek Rumah Idaman pertama tahun ini. Rumah yang ditawarkan mempunyai kemudahan dan kelengkapan seperti dua parkir, pendingin hawa, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk dan televisyen

“Peringkat awal pembinaan rumah ini di Kajang, ada tanggapan boleh atau tidak kita lakukan atau hanya slogan atau janji. Alhamdulillah hari ini kepercayaan makin tinggi dan kita buktikan dengan beberapa pembangunan,” katanya.

Beliau berucap selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melihat model kediaman selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara, Shah Alam pada 17 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata idea pembangunan rumah kategori ini bertujuan memperbaiki keadaan tempat tinggal pendududuk terutama di kawasan bandar.

“Lokasi juga mudah diakses dengan pelbagai kemudahan antaranya lebuh raya utama, hospital, sekolah, pusat pengajian tinggi, pengangkutan awam, pasar raya dan pusat komersial,” katanya.

Rumah Idaman antara inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) memiliki kediaman selesa dengan harga mampu milik.

Projek perumahan tersebut dilaksanakan di beberapa lokasi antaranya Kajang, Bangi, Shah Alam, Cyberjaya dan Semenyih.


Pengarang :