Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri melayani pengunjung pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Armada Putra, Pulau Indah pada 4 Februari 2023. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

6,000 penduduk Pelabuhan Klang nikmati barangan murah sejak tahun lalu

KLANG, 4 FEB: Lebih 6,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima manfaat program Jelajah Ehsan Rakyat sejak tahun lalu.

Wakil rakyat Azmizam Zaman Huri berkata jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu mendapat sambutan kerana membantu penduduk berjimat kos belanja dapur.

“Program ini telah berlangsung di 12 lokasi berasingan dan setiap kali penganjuran lebih 500 penduduk datang membeli. Ada yang sanggup datang seawal 8 pagi kerana tidak mahu terlepas membeli keperluan.

“Program memang dinantikan penduduk kerana harga jualan produknya lebih murah berbanding pasaran. Penduduk dapat menjimatkan separuh belanja bulanan,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau jualan murah barangan asas itu yang diadakan di Bandar Armada Putra, Pulau Indah di sini hari ini.

Azmizam berkata meskipun semua produk dijual dengan harga murah namun kualitinya setanding dengan barangan di pasaran.

“Ayam RM10 seekor namun penduduk dakwa ayam itu besar dan segar. Begitu juga dengan beras. Berkualiti dan setanding beras jenama lain,” katanya.

Jualan murah berkenaan diperkenal tahun lepas dan kembali disambung sejak 16 Januari sehingga Mac depan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri meringankan beban belanja penduduk.

Program dengan anggaran peruntukan hingga RM15 juta itu menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :