Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

71 peratus pencarum miskin apabila bersara, terpaksa kerja enam tahun lagi

SHAH ALAM, 23 FEB: Lebih dua pertiga atau 71 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tiada wang mencukupi untuk bersara atas paras kemiskinan.

Perdana menteri menjelaskan bilangan ahli aktif yang mencapai paras simpanan asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun menurun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022, lapor Malaysiakini.

“KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat sehingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.

Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat berkaitan pendirian kerajaan mengenai pengeluaran KWSP dan rancangan untuk membantu pencarum membina semula simpanan.

Perdana menteri juga menambah sebanyak 6.7 peratus pencarum atau 51 peratus bilangan keseluruhan pencarum aktif hanya memiliki simpanan kurang RM10,000 setakat 31 Dis 2022.

Menyatakan empat pengeluaran khas sejak 2020 membabitkan RM145 bilion, beliau berkata pengeluaran tambahan boleh membawa lebih banyak masalah kepada pencarum selain menjejaskan pendapatan KWSP.


Pengarang :