Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

97 peratus dari 400 orang awam setuju reka bentuk awal kompleks sukan negeri

SHAH ALAM, 7 FEB: Sebanyak 97 peratus daripada hampir 400 orang awam bersetuju dengan reka bentuk awal projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata dapatan itu diperoleh melalui kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian sejak 26 Januari.

Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz turut memaklumkan hampir 20,000 pengunjung menyertai sesi libat urus pembangunan projek yang turut meliputi stadium negeri, dengan rata-ratanya berpuas hati dengan pelan itu.

“Kita dapati pengunjung yang datang setiap hari sangat ramai terutama pada hujung minggu. Kebanyakan mereka menyokong sepenuhnya susun atur (pembangunan semula) stadium dan fasiliti dicadangkan.

“Malah rata-rata orang awam gembira kerana kemudahan ini akan dibangunkan semula selain tidak sabar melihat ia siap nanti,” katanya sambil menambah pameran berkenaan turut meraih lebih 1.2 juta capaian melalui platform media sosial.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim meninjau ruang pameran projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di SACC Mall, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Turut sama Pengurus Besar Unit Projek Khas MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz (kiri) dan Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui di sini turut memberitahu pihaknya menerima ratusan cadangan dan pihaknya akan meneliti sebaik pameran tamat pada 10 Februari.

“Buat masa ini kita tengok dahulu cadangan itu memandangkan pameran belum selesai dan analisa menyeluruh akan dibuat selepas itu. Sekiranya jumlah cadangan sesuatu perkara tinggi, insya-Allah kita pertimbangkan.

“Justeru, kita menggalakkan seberapa ramai mungkin orang awam datang ke sesi libat urus yang berbaki beberapa hari sahaja lagi,” katanya.

Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pameran awam pembangunan semula KSSA diadakan bagi memberi peluang orang awam menilai pembinaan projek seluas 76.08 hektar itu.

Menerusi inisiatif MBI, orang ramai boleh memberi cadangan terhadap struktur dan pelan pembangunannya selain dialu-alukan memberi maklum balas melalui e-mel [email protected]

Pada 5 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pembangunan semula KSSA termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini.


Pengarang :