Pemilik bersama Durian Atok Md Yasin Arsad 67 (kanan) membantu menyediakan Menu Rahmah “Durian” yang berharga RM4.99 ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam. – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Adaptasi konsep Menu Rahmah, peniaga jual durian RM4.99 sebekas

SHAH ALAM, 9 FEB: Konsep Menu Rahmah yang diperkenal kerajaan baru-baru ini dengan menetapkan sesuatu menu pada harga RM5 dan ke bawah mendapat sambutan menggalakkan termasuk seorang peniaga durian yang menjual raja buah itu pada harga RM4.99 sebekas.

Pengusaha gerai Durians Atok, Khairul Fahmy Md Yasin, 45, berkata baginya konsep Menu Rahmah itu seharusnya tidak dikecilkan hanya kepada makanan dan minuman harian dan pengusaha produk lain sewajarnya turut terlibat bagi memasarkan produk mereka untuk dinikmati semua golongan khususnya B40.

“Inisiatif ini adalah baik kerana peniaga lain boleh turut menurunkan harga barangan selain makanan harian yang mungkin tidak mudah untuk diperoleh. Disamping itu, peniaga dapat bantu dan turut bersedekah kepada mereka yang tidak mampu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, Durian Rahmah yang diperkenalkan di gerainya sejak minggu lepas itu berjaya menarik pembeli sehingga dari selatan tanah air untuk merasai keenakan raja buah di gerainya dengan harga murah iaitu RM4.99 bagi 300 hingga 400 gram sebekas.

Khairul Fahmy berkata dia sendiri tidak menyangka konsep jualan yang dilaksanakan seiring dengan seruan kerajaan itu membuatkan gerainya ‘diserbu’ peminat durian sejak minggu lepas.

“Hari pertama saya jual RM4.99, durian sebanyak 50 bekas terjual dalam 10 minit sahaja. Saya pun terkejut. Sebelum ini saya jual RM8 ke RM9 bagi satu bekas.

“Jadi saya teruskan tambah kerana permintaan memang tinggi sehingga ada mereka yang dari Skudai, Johor datang membeli. Semalam, 600 bekas Durian Rahmah ini terjual dan kita mungkin tambah kuantiti jika permintaan meningkat,” katanya.

Pelanggan memilih Menu Rahmah “Durian” yang dijual pada berharga RM4.99 ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam. Foto BERNAMA

Khairul Fahmy berkata dalam satu bekas itu akan dicampur isi duriannya antaranya durian kampung dan D24 dan mereka yang berminat boleh membeli dengan mengunjungi gerainya kerana buat masa ini, dia tidak menerima sebarang tempahan.

Katanya, jualan bagi Durian Rahmah akan bermula pada 2.30 petang selepas bekalan buah itu sampai dengan setiap pelanggan dihadkan untuk membeli dua bekas durian saja bagi memastikan orang lain dapat merasai serta berpeluang untuk membeli durian yang dijual.

Selain itu, Khairul Fahmy turut menjual pelbagai jenis durian di gerainya yang terletak di Jalan Kebun Kampung Batu 7, di sini dan turut menjual cendol durian serendah RM4.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata dengan inisiatif itu, rakyat kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara mulai 31 Jan melalui program Menu Rahmah.

Disamping itu, Salahuddin berkata kementeriannya bersifat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan jenama Rahmah asalkan ia bertujuan membantu rakyat dan pihak yang menyediakan Menu Rahmah dengan menawarkan harga serendah RM5 perlu memastikan kualiti makanan dijual. – BERNAMA

 


Pengarang :