Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat. Foto Arkib Selangorkini
ADNSELANGOR

ADN: Lebih 400 petak parkir dibina di stesen KTM Rawang, galak guna pengangkutan awam

SHAH ALAM, 6 FEB: Masalah kesesakan lalu lintas di pekan Rawang yang berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu akan berakhir sejurus projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) berhampiran siap pada 2026.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata pembinaan parkir kenderaan lima tingkat berkonsep ‘hentian dan jalan’ dengan kos dianggar RM5.4 juta giat dijalankan sejak akhir tahun lalu.

“Isu kesesakan sebenarnya sudah lama timbul iaitu kira-kira 30 hingga 40 tahun lepas. Ia berpunca daripada tempat letak kenderaan di KTM Rawang yang tidak mencukupi sehingga menyebabkan parkir bertindih.

“Jadi kewujudan parkir kenderaan bertingkat itu nanti mampu menyelesaikan masalah terbabit selain memudahkan pengguna KTM,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menerusi perkongsian video di TikTok berkata projek dibiayai kerajaan pusat menyediakan 437 petak parkir kereta dan 128 tempat letak motosikal.

“Saya percaya pembangunan parkir ini akan melegakan penduduk setempat khususnya yang ingin menaiki KTM selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Diharap projek ini berjalan lancar dan siap seperti dijadualkan. Sama-sama kita mendoakan yang terbaik untuk Rawang,” katanya.

Selain bangunan parkir lima tingkat, difahamkan projek itu turut menyediakan kemudahan mengambil dan menurunkan penumpang bas, teksi dan kenderaan persendirian (drop by zone).

Fasiliti lain disediakan meliputi tandas, lif, lampu jalan, laluan pejalan kaki dan kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam penggal kelima persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) November lalu, isu pembinaan parkir bertingkat di KTM Rawang dibangkitkan wakil rakyat berkenaan.


Pengarang :