Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Melawati di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN mahu anjur jualan murah, ringan belanja penduduk sempena Ramadan

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 26 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mahu mengadakan jualan murah bagi meringankan beban belanja penduduk mendapatkan keperluan harian sempena Ramadan.

Pegawai khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati berkata bagi merealisasikan usaha itu pihaknya menjalin kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Menerusi kerjasama ini kita fokus jualan enam barangan asas iaitu ayam, telur, ikan dan daging sejuk beku, beras serta minyak masak seperti dijual menerusi Jelajah Ehsan Rakyat.

“Manakala Fama pula akan jual sayur buah dan pokok. Kita rancang adakan program serentak babitkan kedua-dua agensi supaya penduduk boleh dapatkan pelbagai barang keperluan di satu tempat,” kata Muhammad Farhan Zulkifli ketika dihubungi.

Beliau berkata program dijadual berlangsung seminggu atau dua minggu sebelum umat Islam berpuasa pada 22 Mac ini.

Muhammad Farhan berkata inisiatif itu diambil wakil rakyat DUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli susulan sambutan menggalakkan daripada penduduk menerusi kerjasama dengan Fama pada 2019.

“Kita yakin penganjuran program ini juga akan dapat sambutan memberangsangkan berdasarkan sambutan baik penduduk sebelum ini.

“Kita lihat penduduk perlukan bantuan seperti ini. Program ini beri manfaat besar kepada mereka terutama ketika isu kenaikan harga barang,” katanya.


Pengarang :