Petugas membuat persiapan sempena program Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Meru Ehsan, Meru, Klang pada 1 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Meru belanja 20 individu susah beli barangan asas di Jelajah Ehsan Rakyat

KLANG, 1 FEB: Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menampung perbelanjaan 20 individu kurang berkemampuan untuk membeli barangan asas di program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri, hari ini.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata pihaknya memperuntuk wang tunai RM50 untuk setiap seorang yang diharap dapat meringankan beban mereka untuk membeli keperluan harian seperti ayam dan telur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Fakhrulrazi Mokhtar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ada pihak yang tanya sama ada kita ada berikan barangan asas secara percuma, saya cakap kita ada bantu tetapi hanya untuk penduduk terpilih khususnya golongan berpendapatan rendah yang benar-benar layak.

“Kita beri duit dan serahkan sepenuhnya kepada mereka nak beli apa mengikut keperluan sama ada ayam, minyak, telur, daging, ikan dan beras,” katanya ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Meru, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrulrazi berkata jualan murah di Pangsapuri Meru itu merupakan lokasi ke empat bagi tahun ini dan setiap penganjurannya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

“Antara barangan yang menjadi tumpuan adalah ayam dan telur iaitu kedua-dua ini habis terjual dalam tempoh satu jam. Berdasarkan sambutan ini dapat dilihat usaha Kerajaan Negeri mendapat reaksi positif.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat menambah peruntukan dan jumlah barangan dijual bagi membolehkan lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac melibatkan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :