Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (dua, kanan) meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Armada Putra, Pulau Indah pada 4 Februari 2023. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Pelabuhan Klang saran jualan murah hingga Aidilfitri, ringan beban sambut raya

KLANG, 4 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) disaran meneruskan program Jelajah Ehsan Rakyat sehingga perayaan Aidilfitri yang disambut April depan.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata jualan murah barangan asas yang dijadual sehingga Mac wajar dilanjut bagi mengurangkan beban penduduk terutama masyarakat Islam untuk menyediakan keperluan raya.

“Kita sedia maklum perbelanjaan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri lebih tinggi kerana mahu menyediakan pelbagau juadah. Jadi kita minta PKPS untuk teruskan hingga sambutan raya.

“Untuk DUN ini, pusat khidmat boleh menyediakan sukarelawan untuk membantu  PKPS melancarkan program berkenaan. Kita sedia beri kerjasama demi memastikan penduduk dapat dibantu,” kata Azmizam Zaman Huri.

Beliau ditemui selepas meninjau program jualan murah yang berlangsung di Taman Putra Armada, Pulau Indah hari ini.

Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif jelajah Ehsan Rakyat 2.0 selama tiga bulan bermula 16 Januari hingga Mac bagi meringankan beban belanja penduduk.

Program melibatkan anggaran peruntukan hingga RM15 juta itu menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek)

Sementara itu Azmizan turut meminta PKPS bersedia melengkapkan keperluan bekalan ayam untuk musim perayaan nanti.

“Kita tidak mahu timbulnya isu bekalan ayam tidak cukup ketika raya. Jadi kita minta PKPS bersedia dan membuat unjuran dari sekarang,” katanya.


Pengarang :