ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Subang Jaya ajak orang ramai sumbang baju sejuk bantu mangsa gempa bumi Turkiye

SHAH ALAM, 8 FEB: Orang ramai khususnya warga Subang dijemput menyumbang keperluan musim dingin terutama baju sejuk dan selimut bagi membantu mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata menerusi insiatif ‘sumbangan kasih daripada Subang kepada Turkiye’ orang ramai boleh menghulurkan sumbangan di dua masjid sekitar Subang Jaya.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze bercakap kepada media ketika sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 14 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Penghantaran sumbangan boleh dibuat di Masjid Al-Falah USJ 9 dan Masjid Al-Irsyad USJ 1 bermula hari ini hingga 15 Februari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Gempa bumi yang melanda Turkiye baru-baru ini telah meragut nyawa dan harta benda, justeru bagi membantu mangsa-mangsa melalui musibah ini, kami menyeru kepada warga Subang untuk menderma baju sejuk dan selimut,” katanya.

Beliau berkata barang yang sangat diperlukan adalah pakaian musim sejuk seperti seluar panjang, baju berlengan panjang, baju sejuk, jaket, sarung kaki dan tangan.

“Kita tekankan baju sejuk dan selimut kerana ada yang ingin menyumbang tetapi tidak bersesuaian seperti baju lengan pendek.

“Inisiatif ini adalah usaha bersama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya dan dua masjid berkenaan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan Turkish Airlines untuk urusan penghantaran sumbangan ke Turkiye yang dijangka pada 11 dan 16 Februari.

Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan berikutan gempa bumi di Diyarbakir, Turkiye pada 6 Februari 2023. Foto REUTERS

Isnin lalu gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras yang mengorbankan ribuan nyawa setakat ini.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan berpusat di daerah Pazarcik.

Malaysia turut menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat khas Malaysia (SMART) bersama peralatan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di wilayah itu.


Pengarang :