Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian enjin kenderaan yang rosak setelah ditenggelami air. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Agong sokong tekad kerajaan perkasa TVET, graduan terlatih penuhi keperluan industri

SHAH ALAM, 13 FEB: Yang di-Pertuan Agong menyokong tekad kerajaan memperkasa pendidikan serta latihan teknikal vokasional (TVET) melalui kerjasama awam dan swasta.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah graduan dilatih berdasarkan keperluan semasa industri dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

“Beta juga mendukung langkah dalam meningkatkan tahap kemahiran pekerja menerusi program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

“Ia bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja serta separa mahir yang berupaya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.

Seri Paduka bertitah 20 universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan 415 institusi pengajian tinggi swasta menggalas tanggungjawab besar bagi melahirkan modal insan berbakat.

“Agenda pembangunan tidak akan berupaya membawa kebaikan andai masyarakat kita fakir ilmu dan kemahiran serta kontang nilai yang baik.

“Adalah menjadi keutamaan sektor pendidikan tinggi untuk sentiasa meneroka inovasi dan pendekatan segar, strategik serta pragmatik,” titah Al-Sultan Abdullah.

Pada 2 Februari lalu, perdana menteri mencadangkan penglibatan dan kerjasama pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan bagi memperkasa pendidikan TVET.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting untuk memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti mismatch (salah padan) atau latihan yang tidak diperlukan oleh industri serta kemudahan tidak memuaskan.


Pengarang :