Rakan Strategik Agrosel turut menjual barangan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru, Ampang Jaya pada 23 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Agrosel tawar barangan serendah RM1 di jualan murah DUN Pandan Indah

OLEH AZIAN AZIZ

CHERAS, 23 FEB: Orang ramai yang mengunjungi Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Teratai dan Sungai Ramal berpeluang mendapatkan barangan di gerai Pertubuhan Agroprenuer Selangor (Agrosel) yang dijual lebih rendah daripada harga pasaran bermula RM1 hingga RM5.

Exco Rakan Strategik Agrosel Mohd Aris Ismail berkata antara barangan yang jual ialah biskut, tepung goreng ayam, pelbagai rempah, kicap, pelbagai sos, air kotak dan roti.

“Gerai ini kita buka untuk semua pengunjung JER untuk membantu meringankan perbelanjaan mereka kerana harga yang ditawarkan lebih murah daripada pasaran contohnya tepung goreng ayam yang harga pasarannya RM2.50 kita jual RM1.

“Sebenarnya gerai kita berkonsep menjual sambil menderma kerana kita beri harga murah kepada orang ramai dan 50 sen daripada jualan kita akan dermakan kepada Maahad Tahfiz Al-Itqaan,’’ katanya yang ditemui dalam program JER DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru hari ini.

Mohd Aris memberitahu program yang mendapat sokongan penuh EXCO Pertanian Ir Izham Hashim akan mempelbagaikan barangan jualan pada masa depan.

“Barangan yang kita jual setiap kali JER bertukar-tukar mengikut stok dan kita akan pelbagaikan lagi agar dapat menarik orang ramai membeli.

“Kita juga merancang mengajak syarikat-syarikat pengeluar makanan kering ternama untuk menyertai kita selepas ini,” ujarnya.

Tambah Mohd. Aris gerai Agrosel ini mula dibuka di JER Pandan Indah pada Januari lalu.


Pengarang :