Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amirudin usul lima jawatankuasa baharu di Parlimen, bantu lancar pentadbiran kerajaan

SHAH ALAM, 20 FEB: Ahli Parlimen Gombak mencadangkan lima jawatankuasa baharu yang boleh diwujudkan di Parlimen bagi membantu melancar pentadbiran kerajaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antaranya termasuklah jawatankuasa pilihan anak-anak syarikat dan badan berkanun selain jawatankuasa pilihan khas federalisme.

“Sebagai contoh, dalam jawatankuasa pilihan khas federalisme, Selangor menyumbang 24.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tetapi kita hanya dapat balik antara 5-10 peratus sahaja.

“Malah, Sabah dan Sarawak juga perlu diberi peruntukan yang lebih, sesuai dengan kedudukannya sebagai rakan kongsi negara,” katanya ketika sesi perbahasan titah Diraja di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023. Foto YUISR

“Ini contoh perkara yang boleh ditimbulkan dengan terperinci dalam jawatankuasa itu dan bukan hanya diuar-uarkan dalam bentuk propaganda atau suara popular ketika berbahas.”

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menambah tiga lagi jawatankuasa yang dicadang ialah jawatankuasa pengangkutan awam, jawatankuasa mobiliti sosial, dan jawatankuasa masyarakat menua.

Menurutnya penubuhan lima jawatankuasa tersebut membolehkan fungsi Parlimen diperkukuh selain perjalanan pentadbiran kerajaan dapat dilihat dengan lebih luas.

Pada 8 Februari lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dilaporkan mahu memperkasa peranan Jawatankuasa Pilihan Khas dalam membantu peranan kementerian.

Johari berkata jawatankuasa yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu boleh mengetengahkan cadangan serta laporan bagi proses semak dan imbang.


Pengarang :