Orang ramai mencari mangsa termasuk ahli keluarga yang terselamat di bawah runtuhan berikutan gempa bumi di Diyarbakir, Turkiye pada 6 Februari 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 2,921 orang

ANKARA, 7 FEB: Sekurang-kurangnya 2,921 orang terbunuh dan 15,834 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan bahagian selatan Türkiye, kata seorang pegawai agensi bencana negara pada awal Selasa.

Awal pagi Isnin, gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.

Pada 13.24 malam (1024GMT), gempa bumi kedua berukuran 7.6 pada skala Richter berpusat di daerah Elbistan di Kahramanmaras melanda wilayah itu.

Ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Yunus Sezer berkata gempa yang diikuti 243 gegaran susulan itu turut menyebabkan 6,217 bangunan runtuh, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata kira-kira 16,400 anggota mencari dan menyelamat kini berada di wilayah berkenaan dan 65 negara telah menawarkan bantuan setakat ini.

Naib Presiden Türkiye Fuat Oktay berkata 338,000 mangsa gempa kini ditempatkan di asrama, universiti dan rumah perlindungan.

Oktay berkata Lapangan Terbang Hatay, lapangan terbang Kahramanmaras dan Gaziantep ditutup untuk penerbangan awam.

Sebanyak 102 stesen bergerak telah dihantar ke zon gempa bumi setakat ini.

Beliau juga meminta semua media, institusi dan organisasi supaya mendapatkan maklumat hanya menerusi kenyataan rasmi bagi mengelak maklumat yang salah.

Pengurus besar pengurangan risiko AFAD Orhan Tatar berkata sejumlah 250 juta lira Turki (kira-kira AS$13.3 juta) dana kecemasan telah dihantar ke wilayah bencana setakat ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga Turkish Petroleum Pipeline Company (BOTAS) menghentikan penyaluran minyak mentah di kawasan berkenaan, menurut Tatar.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata gempa yang menggegarkan negara itu merupakan “bencana terbesar” selepas gempa bumi Erzincan pada 1939.

Erdogan menyeru rakyat negara itu supaya “bersatu hati” dan mengumumkan Türkiye akan berkabung selama tujuh hari.

Menteri Pendidikan Mahmut Ozer berkata institusi pendidikan di Türkiye ditutup sehingga Isnin depan, 13 Februari.

Menteri Belia dan Sukan Mehmet Kasapoglu pula berkata semua acara sukan kebangsaan di Türkiye ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Gegaran turut dirasai di beberapa negara jiran di rantau itu termasuk Lubnan dan Syria.

– BERNAMA


Pengarang :