Pasukan menyelamat berjaya membawa keluar Muhammed Cafer Cetin, 18, yang terselamat dalam runtuhan bangunan selepas 198 jam kejadian gempa bumi di Adiyaman, Turkiye pada 14 Februari 2023. Foto Ihlas News Agency (IHA)/REUTERS
AGENDAGLOBAL

Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 44,218, misi SAR diteruskan

ISTANBUL, 25 FEB: Sekurang-kurangnya 44,218 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb lalu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu pada Jumaat.

Hampir 335,400 khemah telah dibina di zon gempa, lapor Agensi Anadolu memetik Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Lebih 11,400 anggota misi mencari dan menyelamat (SAR) tempatan dan antarabangsa masih menjalankan operasi SAR di lokasi kejadian.

Empat pusat khidmat sosial bergerak diwujudkan di Kahramanmaras, Hatay, Osmaniye dan Malatya untuk menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi.

Kira-kira 912,000 orang telah menerima sokongan psikososial dengan 615,000 di zon gempa bumi dan 297,000 di luar zon gempa.

Menurut AFAD, gempa yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu turut disusuli dengan 9,136 gegaran susulan.

Gegaran berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter melanda 10 wilayah lain – Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa, dan Elazig yang menjejaskan kira-kira 13.5 juta penduduk.

Beberapa negara di rantau berkenaan termasuk Syria dan Lubnan turut merasakan gegaran itu. – BERNAMA


Pengarang :