AGENDANASIONAL

APMM Selangor pergiat usaha kesan pemancing jatuh laut

SHAH ALAM, 24 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor mempergiat usaha mencari seorang pemancing yang dilaporkan jatuh laut semasa memancing di pesisir pantai perairan Sementa, Selangor awal pagi semalam.

Pengarah APMM Selangor Kapten Maritim V Siva Kumar berkata mangsa, yang dikenali sebagai Raiman Suyud, 54, telah keluar memancing menaiki sampan bersama seorang rakan pada 11.30 malam.

“Sampan yang dinaiki mangsa dan rakannya itu dilanggar oleh pukat tunda bot yang tidak memasang lampu navigasi pada kira-kira 5.30 pagi menyebabkan sampan pecah serta mereka berdua jatuh ke laut.

“Mangsa yang tidak boleh berenang telah mengalami kekejangan kaki dan hanyut manakala seorang lagi berenang ke pesisir pantai dan diselamatkan oleh bot pancing berdekatan,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata kali terakhir mangsa dilihat memakai baju celoreng askar warna hijau dan seluar panjang putih sebelum dilaporkan hilang di laut.

Siva Kumar berkata operasi itu dikoordinasikan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru dan operasi carilamat mula diaktifkan pada 11.20 pagi dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.

“Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat juga ditubuhkan di Jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar dekat sini.

“Setakat 7 malam tadi (semalam), mangsa masih belum ditemui dan carilamat ditangguhkan kerana faktor penglihatan terhad pada waktu malam,” katanya sambil menambah keluasan kawasan pencarian ialah 10 batu nautika persegi di sekitar perairan Sementa.

Operasi carilamat turut melibatkan Pasukan Polis Marin, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Malaysia serta Komuniti Nelayan Setempat.

– BERNAMA

 


Pengarang :