BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Asteroid gergasi punca dinosaur pupus

Oleh ZAMIR MOHYEDIN

Filem Don’t Look Up (2022) menayangkan kisah asteroid gergasi menghentam bumi sehingga menghapuskan hampir keseluruhan manusia. Situasi yang sama pernah berlaku pada 66 juta tahun lalu iaitu tahun kepupusan dinosaur.

Bagaimana seketul asteroid gergasi yang hentam satu tempat iaitu di Semenanjung Yucata, Mexico boleh melenyapkan lebih 75 peratus spesies di seluruh dunia? Kalau dalam Don’t Look Up, bagaimana asteroid yang menghentam satu tempat boleh melenyapkan manusia?

Asteroid yang menghentam bumi 66 juta tahun dahulu mempunyai diameter sepanjang 10 kilometer (km). Saiznya lebih besar daripada gunung Everest.

Saiz 10 km dari permukaan bumi dapat mencecah ruang udara pesawat. Ketika masuk ke atmosfera bumi, asteroid ini bergerak selaju sekitar 30,000 milisaat iaitu sekitar 87 kali ganda lebih laju daripada bunyi.

Asteroid ini menghentam laut cetek di perairan Semenanjung Yucata. Hentamannya melepaskan tenaga setanding sekitar 900 bilion bom yang pernah meletupkan Hiroshima dan 100 juta bom nuklear Tsar Bomba. Asteroid ini cuma hentam satu tempat sahaja, tetapi memberikan kesan pada seluruh dunia pada ketika itu.

Hentaman ini meninggalkan kerak seluas 100 km dan sedalam hampir 30 km. Impak ini menghasilkan gempa bermagnitud 12 skala Richter. Skala yang tidak pernah dihadapi oleh manusia. Sebagai perbandingan, manusia pernah menghadapi gempa magnitud 9.6 skala Richter di Chile yang kesannya hingga ke Australia, Hawaii, Filipina, New Zealand, China dan Jepun.

Tsunami setinggi hingga 25 meter membantai negara-negara ini. Gempa ini juga menyebabkan berlakunya letusan gunung berapi di pergunungan Andes di Amerika Selatan. Dianggar kematian disebabkan gempa ini berada dalam julat 1,000 hingga 6,000 orang. Kerugian mencecah sehingga 7 bilion dolar.

Gempa sedunia

Gempa skala 12 skala Richter pada 66 juta tahun lalu telah menghasilkan gempa skala 9 skala Richter di seluruh dunia. Satu gempa yang melahirkan banyak gempa kerana hentaman yang terlalu kuat.

Seperti biasa, gempa menghasilkan tsunami. Ketika itu, tsunami melanda di seluruh dunia. Ombak tsunaminya mempunyai ketinggian dari 100 meter hingga ke 1.5 km dan menenggelamkan banyak daratan.

Kalau kita tepuk air yang tenang, air akan terpercik pada muka. Begitu juga yang berlaku ketika asteroid menghentam bumi. Hentaman asteroid pada 66 juta tahun lalu menyebabkan batu-batu dan serpihan permukaan bumi melantun keluar sehingga ke angkasa. Malah, terdapat sebahagiannya menghentam bulan.

Terdapat sebahagian lain yang melantun keluar kembali semula ke bumi. Serpihan-serpihan ini menghentam seluruh dunia. Ibarat bumi dihujani meteor. Bumi yang tenang bertukar menjadi bumi yang sedang terbakar.

Gempa juga telah menyebabkan gunung-gunung berapi meletus di seluruh dunia. Debu-debu yang dihasilkan serta asap kebakaran daripada hentaman serpihan-serpihan impak telah menutup atmosfera bumi sehinggakan iklim menjadi sejuk kerana sinaran cahaya matahari tidak dapat tembus. Udara bertoksik dan hujan asid membasahi bumi.

Disebabkan cahaya matahari terhalang, tumbuhan pun mati dan kejadian ini telah menyebabkan runtuhnya rantaian makanan.

Jika dibuat perbandingan, dinosaur hidup lebih lama berbanding manusia. Dinosaur berkelana selama 165 juta tahun, manusia pula baru 300 ribu tahun. Jika perang nuklear tercetus di zaman ini, kesannya mungkin tidak seteruk ini. Tetapi cukup teruk untuk membuatkan manusia seluruh dunia sengsara.

Kepupusan dinosaur memberikan peluang kepada mamalia menguasai bumi, menggantikan spesies reptilia. Mamalia akhirnya berevolusi menjadi lebih besar dan tidak lagi terancam oleh reptilia dalam kalangan dinosaur. Corak ini berpanjangan sehingga ke zaman ini.

*Zamir Mohyedin adalah penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara. Beliau seorang ahli fizik yang menulis lapan buku


Pengarang :