Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kinrara, Rachel Lee (tiga kanan) menyerahkan bayaran Perkeso kepada balu arwah Mohd Zaidi Kamaruddin. Turut hadir Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim (kiri) pada majlis penyerahan bayaran Perkeso di Taman Puchong Perdana pada 21 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Balu pekerja p-panggilan terima faedah bulanan, pengurusan jenazah RM2,000

SUBANG JAYA, 21 FEB: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan wang faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada waris Allahyarham Mohd Zaidi Kamaruddin yang maut akibat kemalangan awal bulan ini.

Pengarah Perkeso negeri Ismail Abi Hashim berkata pihaknya juga menyampaikan faedah bulanan berjumlah RM1,395 kepada isterinya Siti Zubaidah Omar bermula bulan ini.

“Faedah ini termasuk bayaran kepada anak mereka yang berusia 22 bulan sehingga 21 tahun. Bayaran akan diteruskan sekiranya anak ini melanjutkan pelajaran sehingga ijazah pertama.

“Perkeso turut menyerahkan kotak prihatin mengandungi bekalan makanan kering bagi meringankan beban keluarga mangsa, “katanya selepas menyerahkan bantuan di Taman Puchong Perdana hari ini.

Turut hadir penyelaras pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara Rachel Lee.

Sementara itu Siti Zubaidah,31, berkata Mohd Zaidi tidak memaklumkan kepadanya berhubung caruman Perkeso terbabit.

“Sebelum jadi penghantar Lalamove, suami bekerja di satu syarikat namun tiada potongan Perkeso. Sebab itu dia berhenti.

“Alhamdulillah faedah bulanan ini membantu saya membesarkan anak,”katanya yang bekerja di sektor swasta.

Mohd Zaidi,31, disahkan maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan menghantar barang di Puchong dekat sini pada 2 Februari.


Pengarang :