HULU SELANGOR, 20 FEB: Rasa bimbang dan trauma menyelubungi bapa kepada kanak-kanak yang terkorban dalam insiden tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali setiap kali mendengar dentuman guruh.
Loh Teng Shui, 45, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu membayangkan bunyi guruh seperti runtuhan tanah di tapak perkhemahan hingga meragut nyawa Zech Loh Qi Yi, 7, pada 16 Disember lalu.
Tragedi merobek hati itu turut memberi kesan terhadap aktiviti seharian Loh dan isteri berikutan ketiadaan anak tunggalnya yang sebelum ini berdampingan dengan mereka sepanjang masa.
“Saya masih ingat lagi runtuhan tanah di situ berakhir dengan satu bunyi yang sangat kuat macam guruh. Jadi tiap kali ada bunyi sebegitu, saya jadi panik dan trauma.
“Selepas kehilangan dia, kami tidak boleh buat apa-apa tanpa dia. Memang susah bagi kami untuk menjalani kehidupan seperti biasa kerana terlalu sedih.
“Kami sangat merinduinya kerana sudah dua bulan tidak melihat kelibatnya. Rasa rindu ini tidak akan hilang sebaliknya terbawa-bawa sampai bila-bila,” katanya kepada Selangorkini sambil menahan sebak.
Terdahulu, Teng Shui antara 13 waris mangsa yang menerima wang ihsan berjumlah RM5,000 sumbangan Kerajaan Negeri sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali dekat sini hari ini.
Beliau yang menghargai bantuan tersebut berharap siasatan kes terbabit disegerakan memandangkan apa dilaluinya bersama isteri ketika ini cukup perit.
Mengakui ia sebagai bencana alam luar jangka, Teng Shui bagaimanapun percaya terdapat faktor lain yang menyebabkan berlaku insiden berkenaan.
“Kami harap pihak berkaitan dapat buat siasatan yang telus dan memperbetulkan kesilapan supaya peristiwa ini memberi iktibar kepada semua.
“Hingga ke hari ini, kami masih tidak menerima apa-apa laporan daripada operator tapak perkhemahan dan pemilik tanah walaupun mereka maklumkan akan bertanggungjawab,” katanya.