Dari kiri EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad, EXCO Pelancongan Hee Loy Sian dan Pengarah Operasi LNH Tour Yaacob Mohamed bergambar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi perkhidmatan bas pelancongan Hop-On Hop-Off di Dewan Annex, Shah Alam pada 29 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bas pelancongan dua tingkat Selangor mula operasi tengah April

SHAH ALAM, 3 FEB: Perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) Selangor dijangka dilancar pada pertengahan April depan.

EXCO pelancongan berkata Sepang menjadi daerah pertama pengoperasian melalui fasa pertama melibatkan dua laluan iaitu Sungai Pelek (setiap Sabtu) dan Cyberjaya (setiap Ahad).

“Buat permulaan, perkhidmatan menggunakan sebuah bas sahaja dan segala pertambahan atau penambahbaikan inisiatif akan melihat kepada kejayaan pada fasa pertama ini.

“Fasa berikutnya akan diperluaskan ke daerah lain dan bilangan bas akan ditambah mengikut kesesuaian dan permintaan,” kata Hee Loy Sian kepada Selangorkini.

Sebelum ini, Loy Sian dilaporkan berkata inisiatif julung kali dijalankan itu bertujuan membangunkan produk pelancongan melibatkan laluan Sepang bagi fasa pertama.

Bas ini disasarkan dinaiki oleh pelancong domestik dan antarabangsa terutama yang transit lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersiar di kawasan sekitar Sepang sebelum meneruskan penerbangan seterusnya.

Tiket yang ditawarkan bagi setiap laluan bernilai RM50 dewasa warga tempatan dan RM40 (kanak-kanak) manakala bukan warganegara RM80 (dewasa) dan RM70 (kanak-kanak).


Pengarang :