Bas RapidKL secara percuma dari Balai Pelepasan Express Rail Link (ERL) Kuala Lumpur Sentral ke bangunan Parlimen yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 20 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bas RapidKL stesen Sentul Timur-Bandaraya ditambah mulai esok

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Perkhidmatan bas perantara LRT11 yang beroperasi antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya akan ditambah mulai esok bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan itu.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 15 bas perantara LRT11 akan beroperasi antara kedua-dua stesen itu dengan kekerapan setiap 10 minit.

“Penambahan bas perantara ini adalah bagi menyokong operasi tren antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya yang akan beroperasi dengan kekerapan setiap 24 minit mulai Isnin.

“Perkhidmatan bas tersebut yang telah diaktifkan semula pada Khamis lepas akan berhenti di Stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya,” menurut kenyataan itu.

Lima tren yang sebelum ini digunakan antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya tidak dapat kembali ke depoh Transit Aliran Ringan (LRT) di Ampang untuk menjalani penyelenggaraan berikutan kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, hanya dua daripada lima tren itu kini memenuhi kriteria keselamatan dan operasi yang ditetapkan sementara tiga lagi telah dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

“Kedua-dua tren tersebut akan digunakan secara bergilir mulai Isnin bagi memastikan kedua-duanya tidak terjejas dan dapat terus beroperasi pada tahap optimum sekali gus mengelak penutupan sepenuhnya stesen-stesen di antara Sentul Timur dan Bandaraya,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dalam tempoh itu dan akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesulitan yang dialami.

– BERNAMA


Pengarang :