Pengunjung menunjukkan kertas senarai barangan asas yang hendak dibeli sempena Jelajah Ehsan Rakyat di pekarangan Dewan Jaya Setia, Kampung Jaya Setia, Kuala Selangor pada 8 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Baucar beli-belah untuk warga emas, DUN Ijok terima lebih 300 pendaftaran baharu

KUALA SELANGOR, 8 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok mendaftar seramai 370 penerima baharu Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sejak permohonan dibuka pada Januari lepas.

Pegawai Khas kepada wakil rakyat Ijok Azli Hussin berkata pihaknya menerima banyak permohonan selepas Kerajaan Negeri mengumumkan nilai baucar beli-belah skim tersebut dinaikkan dari RM100 kepada RM150 seorang.

Pegawai Khas ADUN Ijok Azli Hussin. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Setiap hari kita terima banyak permohonan baharu. Sebelum ini pun kita sudah ada lebih 8,000 penerima SMUE sedia ada.

“Penduduk yang layak menerima bantuan skim tersebut memang agak ramai di Ijok. Kita harap dapat bantu dan meringakan beban mereka,” katanya selepas meninjau program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Jaya Setia, hari ini.

Azli menambah baucar beli-belah akan diagihkan kepada penerima yang layak bermula 18 Februari ini secara berperingkat.

“Baucar itu akan diagihkan menerusi ketua kampung masing-masing, dan dibantu oleh ahli jawatankuasa kampung tersebut,” katanya.

Mulai tahun ini nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan mulai 2023.

Peserta skim menerima baucar beli-belah di pasar raya terpilih pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui pusat khidmat masyarakat. Mereka turut menerima manfaat khairat kematian RM500.

 


Pengarang :