KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kadar bayaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi kru nelayan asing dikurangkan kepada RM320 seorang untuk sektor pertanian bagi tempoh enam bulan pertama berbanding RM1,850 seorang bagi sektor perkhidmatan untuk setahun sebelum ini.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan memaklumkan ia adalah antara usaha kerajaan melalui kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihaknya untuk membantu pengusaha vesel perikanan tempatan dalam pelaksanaan PLKS kru nelayan asing.
Kenyataan itu menyebut kelayakan had umur nelayan asing juga ditetapkan hingga 60 tahun bagi permohonan kali pertama masuk ke dalam negara yang mana pengecualian ini diberi khusus kepada sektor perikanan tangkapan.
“MAFS mengunjurkan keperluan kru nelayan asing bagi tahun 2023 (suku pertama) di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 17,486 orang. Sehingga kini, seramai 10,063 orang kru nelayan asing telah lulus PLKS.
“Secara keseluruhan, keperluan kru nelayan asing di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan adalah seramai 24,549 orang. Kelulusan penggajian nelayan asing adalah tertakluk kepada Seksyen 60K Akta Kerja 1955,” menurut kenyataan itu.
Kru nelayan asing diwajibkan memiliki PLKS sepenuhnya pada 1 Januari tahun lepas selaras pewartaan Perintah Pasport (Pengecualian) (No. 2) (Pindaan) 2021 dan Perintah Imigresen (Pengecualian) (Pindaan) 2021 pada 28 Mei 2021.
DOF dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya giat berusaha meningkatkan penyertaan pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor perikanan tangkapan melalui pelbagai inisiatif serta latihan kepada anak-anak tempatan.
Bagaimanapun, DOF menyatakan pada masa sama, kebenaran diberikan kepada pengusaha vesel perikanan bermuatan 40 Gross Register Tonage (GRT) ke atas untuk menggunakan tenaga kerja asing khususnya vesel pukat jerut bilis, vesel zon C (beroperasi lebih 12 batu nautika dari pantai), zon C2 (lebih 30 batu nautika) dan zon C3 (menangkap ikan tuna di Lautan Hindi).
– BERNAMA