AGENDAJENAYAH

Bekas Adun Sanglang cedera diserang dengan kerusi oleh lelaki kurang siuman

KANGAR, 3 FEB: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang mengalami kecederaan setelah diserang dengan kerusi oleh lelaki dipercayai kurang siuman selepas mendengar tazkirah di Masjid Alwi awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Datuk Mohd Zain Hamzah, 87, cedera pada bahagian kepala sebelah kanan setelah dipukul dengan kerusi kecil kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

“Mangsa berkata beliau diserang oleh suspek di hadapan masjid ketika mengisi duit dalam tabung anak yatim selepas mendengar tazkirah di masjid berkenaan.

“Polis menahan seorang suspek warga tempatan berumur 65 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa masih mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar dan motif serangan masih dalam siasatan.

Katanya suspek dipercayai mengalami masalah mental.

Mohd Zain merupakan bekas Adun Sanglang selama dua penggal dari 1978 hingga 1986.

– BERNAMA


Pengarang :