Peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekas banduan lega peluang kerja terbuka, cetus semangat ubah hidup

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Insentif kepada majikan yang menggaji golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar memberi sinar baharu untuk golongan ini meneruskan kelangsungan hidup.

Penyediaan insentif oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada majikan bagi menggaji golongan berkenaan sehingga RM600 sebulan untuk tiga bulan mendapat reaksi positif daripada golongan ini yang berpendapat sukar untuk majikan menawarkan pekerjaan susulan sejarah hitam mereka.

Bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai N.Jega, 42, dan kini bekerja sebagai pemandu lori berkata pengumuman kerajaan memberi keyakinan kepada dirinya dan mereka yang senasib dengannya untuk mengubah hidup masing-masing kerana kebiasaannya stigma masyarakat terhadap individu sepertinya tetap tidak akan ‘terpadam’.

“Saya amat kesal dengan perbuatan saya tetapi usaha kerajaan untuk membantu bekas banduan perlu dipuji kerana dapat memberi semangat kepada golongan seperti saya untuk terus meneruskan hidup di luar tirai besi,” kata bapa kepada seorang anak itu yang pernah menjalani hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan dadah.

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat berhubung insentif oleh Perkeso turut mendapat sokongan daripada majikan.

Pengarah syarikat pengangkutan Ehsan Jaya Holdings Sdn Bhd Datuk S.Suresh Rao, 47, berkata insentif itu akan membolehkan majikan mengendalikan kursus atau latihan tertentu untuk golongan tersebut.

“Menggaji golongan itu adalah satu cabaran kepada majikan, ia bukan sesuatu yang mudah. Oleh itu insentif tersebut diharap dapat menggalakkan pihak majikan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada golongan ini,” katanya.

Mengenai pengumuman bagi membantu menangani pengangguran dalam kalangan belia dengan menawarkan 35,000 peluang kerjaya menerusi syarikat berkaitan kerajaan, siswazah universiti swasta, Munirah Rosli berkata ia memberi keyakinan kepada bakal graduan untuk menjejak kaki ke alam pekerjaan ketika negara masih dalam proses pemulihan susulan pandemik Covid-19.

“Sekarang ini mendapat kerja yang sesuai dengan bidang pengajian amat sukar. Tetapi saya berharap pengumuman kali ini akan memberi ‘cahaya’ kepada bakal graduan untuk menempuh dunia kerja yang penuh cabaran,” katanya.

Dalam pembentangan belanjawan yang dirumuskan sebagai Belanjawan MADANI, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan Perkeso akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya graduan pendidikan teknik dan vokasional (TVET) sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan. – BERNAMA


Pengarang :