Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belia teruja pembangunan semula kompleks sukan negeri, tak sabar tunggu siap

SHAH ALAM, 11 FEB: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan pelbagai fasiliti berkonsep teknologi terkini mengujakan belia di Selangor.

Mohamad Hilmi Khairi Anwar, 24, berkata sebagai penyokong pasukan Merah Kuning, dia tidak sabar melihat projek yang turut meliputi stadium negeri dibangunkan semula dan siap sepenuhnya.

Mohamad Hilmi Khairi Anwar

“Ketika ini persekitaran stadium terbabit agak kosong dan suram. Kali ini difahamkan ada banyak pembaharuan seperti tapak kendera saji, gelanggang futsal dan tiga jenis padang yang boleh diubah suai.

“Terdapat juga kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) yang akan memudahkan lagi pergerakan orang ramai ke stadium,” katanya kepada Selangorkini.

Mohamad Hilmi berharap kemudahan sukan di Selangor setanding negara maju lain.

“Saya menyambut baik perkara ini kerana mahu lihat kemudahan sukan di Selangor setanding negara maju lain. Saya tidak sabar projek ini bermula,” katanya.

Sementara itu, Syaziyah Saiful Affendi, 20, berkata dia bersetuju dengan reka bentuk awal projek pembangunan kompleks berkenaan yang disifatkan jauh lebih menarik dan tersusun berbanding sedia ada.

Syaziyah Saiful Affendi

“Kalau tengok reka bentuk stadium sekarang banyak kekurangan tetapi pelan yang dicadangkan kali ini sangat menarik terutama apabila ada banyak akses termasuk parkir.

“Parkir sememangnya jadi keutamaan lebih-lebih lagi kalau ada warga emas atau kanak-kanak yang datang,” kata penuntut Universiti Teknologi Malaysia.

Bagi Nuwa Safia Ridzwan, 20, tempat duduk dalam stadium yang dilengkapi sistem penyejukan memberi keselesaan kepada penonton untuk menyaksikan perlawanan bola sepak termasuk acara lain.

Nuwa Safia Ridzwan

“Saya tertarik dengan sistem penyejukan ini kerana kadangkala orang awam yang datang tengok bola terpaksa duduk dalam keadaan panas.

“Jadi dengan adanya sistem ini orang ramai lebih teruja datang. Individu yang tidak pernah ke stadium juga lebih bersemangat untuk hadir sama ada menonton bola sepak atau acara lain,” katanya.

Pembangunan KSSA berasaskan komuniti, kelestarian dan keusahawanan selain ketersambungan kepada stesen LRT, hab transit bas, laluan pejalan kaki berbumbung serta akses pejalan kaki.

Stadium itu juga dijangka menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dengan dilengkapi ultrasel curva, papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kurang upaya dan ruang korporat.

Gelanggang serba moden itu turut disediakan bilik persalinan, sistem penyejukan tempat duduk selain transformasi ke mod sukan dan acara indoor.


Pengarang :