Sekitar Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur, Puncak Alam pada 26 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Belon udara panas warnai program jelajah bantuan rakyat Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 26 FEB: Dua belon udara panas diterbangkan di sekitar Dataran Esplanade Eco Grandeur, Puncak Alam sempena Jelajah Selangor Kita Penyayang (JKSP) peringkat Kuala Selangor hari ini.

Ia diterbangkan selama satu jam bermula 9 pagi sekali gus memberi peluang kepada kira-kira 30 pengunjung awal menaikinya secara percuma.

Antara yang berpeluang menaiki belon udara panas tersebut ialah EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman yang menaikinya selama lima minit sebelum merasmikan program jelajah bantuan rakyat.

Mohd Khairuddin Othman mencuba belon udara ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur, Puncak Alam pada 26 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Khairuddin yang mewakili Dato’ Menteri Besar berkata beliau menjangkakan lebih 4,000 pengunjung memeriahkan JKSP Kuala Selangor yang berakhir pada jam 5 petang.

“Buat julung kalinya kita bawakan belon udara panas ke JKSP. Ini kelainan yg kita bangga dengan Kuala Selangor.

“Program ini juga dilaksana untuk dekati rakyat dengan kasih sayang selain menghebahkan 44 inisatif Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap merasmikan JKSP di sini hari ini.

Program JKSP menyediakan pelbagai acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara santai serta riadah.

Kuala Selangor merupakan lokasi keempat jelajah bantuan rakyat itu selepas Klang, Hulu Selangor, dan Gombak.


Pengarang :