Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Biasiswa Tabung Pendidikan Anak-Anak Syarikat dan Badan Berkanun Selangor (TPASBB) di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 3 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Biasiswa anak kakitangan Kerajaan Negeri ringankan kos belanja pengajian

PETALING JAYA, 4 FEB: Biasiswa yang ditawar kepada anak kakitangan syarikat Kerajaan Negeri membantu mengurangkan kos belanja keperluan bagi menyambung pengajian.

Pelajar Politeknik Port Dickson berkata sumbangan lebih RM10,000 diterima daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sejak November 2021 membolehkan dia menyelesaikan yuran pengajian selain membeli buku.

Nursyahmina Ahmad Nahar

Nursyahmina Ahmad Nahar, 22, berkata bantuan itu sememangnya diperlukan memandangkan pendapatan ibu bapa yang kedua-duanya bekerja dengan anak syarikat Kerajaan Negeri tidak besar.

“Tajaan ini sangat membantu kerana keluarga bukan kategori berada. Saya mohon selepas ayah maklumkan bantuan ini. Alhamdulillah permohonan berjaya,” kata pelajar Diploma Kejuruteraan Awam itu.

Putra Hafidiniy Mohd Fadzir

Sementara itu, Putra Hafidiniy Mohd Fadzir, 23, berkata dia menerima bantuan MBI lebih RM40,000 sejak 2019 bagi menampung kos pengajian ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia.

“Dengan wang inilah saya membayar yuran, buku, beli keperluan harian. Sebagai anak sulung sebolehnya saya tidak mahu bebankan ibu bapa kerana mereka perlu tanggung adik-adik.

“Bantuan ini juga menjadi semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh kerana perlu mendapatkan keputusan cemerlang untuk kekalkan biasiswa,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua mereka menyertai program ramah mesra penerima biasiswasa Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Negeri Selangor (TPASBB) bersama Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sepanjang 2013 hingga tahun lalu, anak syarikat Kerajaan Negeri membelanja hampir RM13 juta bagi membiayai pekerja atau waris melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


Pengarang :