Kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor kolam takungan Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Binaan kolam takungan Sungai Semenyih manfaatkan 1.2 juta pengguna

SEPANG, 16 FEB: Pembinaan kolam takungan (Pond C) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir di sini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta pengguna apabila beroperasi dijangka Oktober ini.

EXCO Infrastruktur berkata kolam takungan bawah inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) itu mampu bertahan sehingga lima hari jika berlaku gangguan bekalan air di kawasan terbabit.

“Biasanya Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih menerima air terus dari sungai tetapi dengan adanya kolam takungan, ia akan digunakan jika berlaku pencemaran di sungai.

“Apabila berlaku pencemaran, kita kesan, kita akan alihkan air sungai daripada masuk ke LRA dan gunakan kolam. Ia mampu bertahan sehingga lima hari,” kata Ir Izham Hashim.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim (dua kanan) dan Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato’ Johary Anuar (kiri) melawat tapak projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor kolam takungan Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu beliau meninjau perkembangan projek kolam takungan (Pond C) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.

Menurut Izham kolam takungan Sungai Semenyih menampung kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan bekalan air Selangor, membabitkan kawasan Putrajaya, Puchong, dan Petaling Jaya.

Kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor kolam takungan Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Katanya ketika ini projek dengan kos RM85 juta itu sudah siap 54 peratus.

SJAM merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air mentah terutamanya di Sungai Selangor dan Sungai Langat.


Pengarang :