Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengawasi kawasan perairan agar aman dan selamat buat masyarakat dan negara. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bot nelayan tempatan dikendali tiga warga asing khayal dadah ditahan di perairan Sekinchan

SHAH ALAM, 20 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 bersama seorang tekong dan dua kru warga Myanmar dalam keadaan khayal di perairan Sekinchan, Sabtu lepas.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata bot terbabit dikesan KM Bagan Datuk pada kira-kira 10.40 pagi di kedudukan 13 batu nautika barat daya Sekinchan.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga mereka yang berusia antara 33 hingga 41 tahun menjalankan aktiviti perikanan selama dua hari.

“Pemeriksaan lanjut menemukan dua keratan penyedut minuman serta satu plastik jernih mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat lima gram dan ‘bong’ kaca yang diletakkan di tempat tidur tekong.

“Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dibayar RM70 sehari untuk bekerja di bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siva Kumar berkata tekong dan kru serta bot bersama 100 kilogram ikan, pukat tunda di atas bot dan barangan terlarang berkenaan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai aduan, maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau MERS 999. – BERNAMA


Pengarang :