Sejarah Selangor 1766–1939 karangan J. M. Gullick mengisahkan pemerintahan negeri Melayu antara pertengahan abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Foto IBDE
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buku terkini Sejarah Selangor mula dijual di KL esok, tawar potongan harga

SHAH ALAM, 22 FEB: Buku Sejarah Selangor 1766-1939 yang diterbitkan bawah projek terjemahan karya agung Kerajaan Negeri akan mula dijual di pesta buku empat hari yang bermula esok.

Diusahakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd, karya J M Gullick boleh dibeli di reruai tiga Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2023 di sebelah Pasar Seni Kuala Lumpur.

Tebal 344 halaman, buku ini menceritakan pemerintahan negeri Melayu, pergelutan kuasa, perang saudara dan kegiatan perekonomian antara pertengahan abad ke-18 hingga awal abad ke-20.

“Bab-bab akhir buku ini membincangkan masa hadapan kerajaan Melayu dan kedudukan Selangor dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sebelum terbentuknya gagasan Persekutuan Tanah Melayu,” kata syarikat itu di Facebook.

Selain terjemahan History of Selangor, IBDE juga menerbitkan beberapa buku menarik antaranya Apa Itu Tasawuf? karya Martin Lings, Penyucian Kalbu (Hamza Yusuf), Gelagat dan Ragam Orang Melayu (Frank Swettenham) dan Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (Martin Lings).

Sejarah Selangor 1766-1939 antara buku terjemahan terkini Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd. Karya lain termasuklah Apa Itu Tasawuf? dan Gelagat dan Ragam Orang Melayu.

Pengunjung pesta buku ini ditawarkan potongan 10 peratus bagi semua judul terbitannya.

IBDE menjelaskan buku sejarah ini diterbit atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pengurus jualannya Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata buku tersebut, yang berharga RM70, menceritakan asal usul tempat di Selangor dan menjadi rujukan ramai.

Menerima geran daripada Kerajaan Negeri, IBDE ditugaskan menjalankan kegiatan penterjemahan buku pelbagai bidang termasuklah agama, sejarah, sastera, politik dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.

Lakaran lokasi reruai IBDE di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur ((KLAB) 2023 yang berlangsung sehingga Ahad ini seperti di bawah:


Pengarang :