Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan anugerah Ikon Usahawan OKU Selangor kepada Mohd Noor Affendi Abdul Muin (dua kanan) yang turut dihadiri EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Nurul Azwa Mohd Rodzi (kiri) pada Majlis Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Buta mata kiri sejak usia lima tahun bukan penghalang impian, kini jadi usahawan perabot

Oleh Azian Aziz

KUALA LUMPUR, 28 FEB : Buta mata kiri akibat tercucuk penyodok pasir ketika bermain dengan rakan bukan penghalang Mohd Noor Affendi Abdul Muin, 40, berjaya dalam hidup.

Disebalik tragedi ketika berusia lima tahun itu, beliau berazam memajukan diri dalam pelajaran sehingga menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kimia Petroleum di Universiti Putra Malaysia (UPM) selain pernah bekerja sebagai jurutera syarikat penerbangan.

Mohd Noor Affendi Abdul Muin. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Dalam masa sama, bapa kepada tiga anak itu yang berminat dalam kerja kayu mula melakukan kerja sambilan di belakang rumah bermula 2017 dengan menghasilkan perabot dan hiasan kayu.

Ketidaktentuan ekonomi global menyebabkan Mohd Noor Affendi terpaksa mengambil skim pemberhentian kerja secara sukarela (VSS) pada 2021 dan sejak itu mula serius dalam bidang kerja kayu sehingga membuka bengkel.

“Pada mulanya saya kerja sendiri sahaja dengan pendapatan RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Saya terbaca mengenai Selangor Youth Community (SAY) di media sosial yang membimbing usahawan OKU untuk mengembangkan perniagaan dan mendaftar pada September 2022.

“Hasil bimbingan daripada SAY, saya kini dapat mengembangkan perniagaan saya dan mempunyai dua pekerja tetap dengan pendapatan bulanan antara RM15,000 hingga RM20,000,’’ kata pemenang tempat pertama Ikon Usahawan OKU Selangor itu ketika ditemui dalam Program Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) di Hotel Sunway Putra di sini, semalam.

Mohd Noor Affendi yang mempunyai jenama perniagaan Lanun Kayu atau nama asalnya DIY Kerja Kayu Pallet menerima geran perniagaan SAY bernilai RM3,000, piala, sijil dan bimbingan untuk mengembangkan perniagaan dan pasaran eksport (SAY LEAD PLUS) yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Saya tak sangka akan dipilih sebagai Ikon Usahawan OKU dan amat berterima kasih dengan pengiktirafan ini. Saya berharap dengan bimbingan program SAY LEAD PLUS, saya mempunyai ruang pameran perniagaan sendiri agar semua kerja kayu saya termasuk perabot dan barang hiasan kayu dapat dipamerkan.

“Saya juga bercita-cita menjadi pembekal kayu dalam serta luar negara selain turut memasarkan produk secara dalam talian melalui Facebook Fendi Muin, DIY Kerja Kayu Pallet dan Lanun Kayu,” katanya yang memakai mata palsu.


Pengarang :