BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dedah laporan juri festival filem, bolehkan karya pemenang dinilai

SHAH ALAM, 2 FEB: Penganjuran festival filem antara inisiatif penting yang bukan sahaja memberikan penghargaan kepada penggiat perfileman, tetapi juga meningkatkan tahap penghargaan filem dalam kalangan penonton. Kita mempunyai banyak rujukan daripada pelbagai festival filem di seluruh dunia untuk menjadikan penganjuran festival filem di Malaysia baik dan berkualiti.

Festival filem tidak harus berpaut pada suasana glamor dengan prestijnya dinilai menerusi gemerlapan sinar lampu dan kemeriahan pentas ketika majlis penganugerahan, tetapi perlu dilihat melangkaui daripada itu. Tidak dinafikan keperluan memberikan prestij melalui keadaan fizikal, namun pengisian lebih mendalam harus menjadi keutamaan.

Di negara kita, Festival Filem Malaysia (FFM) merupakan festival filem paling utama yang mengangkat karya-karya filem tempatan secara tahunan. Kita harus mengucapkan syabas kepada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan rakan kongsinya kerana berupaya menganjurkan festival ini saban tahun walau berdepan kekangan luar jangka seperti pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Namun, terdapat beberapa perkara utama yang boleh diteliti semula oleh Finas bagi memastikan prestij festival ini berada pada tahap tinggi dan integriti penjuriannya tidak dipersoalkan.

Kita dapat melihat bahawa dalam aspek penjurian terdapat perkara tidak konsisten berlaku dan antara paling ketara ialah senarai juri yang sering dirahsiakan. Ada tahun, kita sebagai khalayak penonton didedahkan dengan senarai juri yang terlibat, namun ada tahunnya, senarai juri ini tidak didedahkan seperti pada FFM 32 yang mengadili filem-filem terbitan sepanjang 2022.

Kita tidak pasti mengapa keadaan seperti ini berlaku, namun ia jelas menimbulkan persoalan terhadap integriti penjurian. Festival besar contohnya Anugerah Festival Filem Sundance dan Festival Filem Cannes akan mengumumkan barisan juri dan siapa yang menjadi ketua juri pada setiap kali sebelum festival berlangsung. Malah melalui pengumuman barisan juri ini kita akan mengetahui secara tidak langsung kualiti piawaian penjurian berkenaan.

Kaedah penjurian juga wajar ditentukan dengan teliti, misalnya kita melihat bagaimana Anugerah Akademi mempunyai cara tersendiri dalam menentukan pemenang di mana ahli-ahli Akademi akan memberikan undi.

Dalam festival filem besar dunia lain, kaedahnya menerusi pemberian kemuktamadan keputusan kepada kebijaksanaan barisan juri yang dipilih. Namun, pemilihan barisan juri ini melalui saringan yang ketat dan telus dengan menetapkan kriteria-kriteria asas sebagai keutamaan.

Laporan penjurian

Berbicara tentang aspek ketelusan, seharusnya kriteria penjurian itu dimuat naik di laman web khusus untuk FFM. Ini akan menarik minat masyarakat awam untuk lebih memahami bagaimana sesebuah festival filem itu dikendalikan. Kita harus menjadikan budaya perfileman sebagai milik masyarakat bukan semata-mata kelompok industri filem sahaja.

Di samping itu, kita juga melihat bagaimana apabila pemenang diumumkan, isu pahat masih berbunyi akan berlaku. Lebih-lebih lagi jika berlaku persaingan sengit antara filem-filem berkenaan.

Sehubungan itu, Finas pada masa depan boleh mempertimbangkan penerbitan dokumen laporan penjurian bagi membolehkan khalayak menonton membaca dan memahami bagaimana sesebuah filem yang diangkat sebagai pemenang itu dinilai dan mengapa filem berkenaan layak mencapai kemenangan.

Ia akan membantu masyarakat lebih celik terhadap budaya perfileman dengan memahami bagaimana kelompok profesional memperkatakan tentang kekuatan dan kelemahan sesebuah filem.

Satu lagi perkara yang perlu difikirkan ialah penganjuran FFM selepas ini tidak lagi merahsiakan senarai pendek calon bagi setiap kategori. Sewajarnya beberapa minggu sebelum majlis penganugerahan berlangsung kita sudah mendapat tahu senarai pendek bagi setiap kategori.

Hampir setiap tahun senarai pendek ini tidak diketahui dan menjadi kejutan di malam penganugerahan. Bagi meningkatkan tahap ketelusan penganjuran FFM, perkara ini wajar diberi pertimbangan.

Ini merupakan antara tindakan awal yang boleh dipertimbangkan Finas bagi meningkatkan kualiti piawaian dan integriti penganjuran FFM yang menjadi tunjang kepada festival filem di Malaysia.

 


Pengarang :