ADN Balakong Wong Siew Ki bercakap kepada media selepas menyerahkan kad sim percuma di Pusat Khidmat ADUN Balakong Taman Kasturi, Kajang pada 26 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Balakong buka kaunter bergerak setiap Sabtu, mudahkan penduduk mohon bantuan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 14 FEB: Bagi membantu penduduk memohon inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong akan membuka kaunter bergerak setiap Sabtu bermula minggu ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong berkata kaunter tersebut akan dibuka di tempat tumpuan umum bermula dari 9 hingga 11 pagi.

“Penduduk Balakong boleh mengetahui lokasi kaunter bergerak tersebut melalui Facebook saya,” kata Wong Siew Ki ketika dihubungi hari ini.

Menurut wakil rakyat itu seorang peguam turut berada di kaunter bergerak tersebut untuk memberikan khidmat nasihat kepada penduduk yang memerlukan.

“Saya menyeru penduduk Balakong agar memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan kaunter bergerak ini.

“Persatuan penduduk yang mahu kaunter bergerak datang ke lokasi mereka boleh hubungi pejabat saya di nombor 03-90760331 atau hubungi ahli majlis DUN,” katanya.

Siew Ki berkata bagi penduduk yang tidak sempat pergi ke kaunter bergerak masih boleh meminta bantuan untuk memohon inisiatif Kerajaan Negeri di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Balakong yang dibuka Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Bagaimanapun khidmat peguam tidak disediakan di situ,” katanya.


Pengarang :