Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di tapak pasar malam Alam Jaya, Puncak Alam pada 20 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Jeram anjur jualan murah sebulan sekali, tumpu lokasi penduduk B40

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA SELANGOR, 20 FEB: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram merancang untuk menganjurkan program jualan murah sebulan sekali di lokasi terpilih.

Penyelaras DUN Ahmad Norhaizam Jalaludin berkata cadangan tersebut tertakluk kepada slot yang diberikan Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).


Penyelaras DUN Jeram Ahmad Norhaizam Jalaludin. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita sasar untuk anjurkan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sebulan sekali di DUN Jeram khususnya di Alam Jaya kerana di sini majoriti penduduk adalah golongan berpendapatan rendah (B40).

“Ini adalah kawasan perindustrian, rata-rata adalah pekerja kilang. Jadi kita sasar anjur jualan murah lebih kerap di sini untuk bantu ringankan beban kewangan mereka akibat peningkatan harga barang ketika ini,” katanya kepada Selangorkini.

Ahmad Norhaizam ditemui pada program jualan murah peringkat DUN Jeram di Tapak Pasar Malam Alam Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya pihaknya berbesar hati dengan kerjasama PKPS namun berharap agensi itu menyediakan slot jualan pada hujung minggu untuk DUN Jeram.

“Kalau anjurkan pada hari biasa kita bimbang tidak ramai golongan sasar dapat manfaat kerana mereka bekerja. Jadi ada kekangan untuk mereka datang beli barangan,” katanya.

Beliau berkata penduduk yang mahu membeli barangan keperluan pada harga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran boleh menyemak jadual program menerusi Facebook PKPS.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu menawarkan barangan seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak lima kilogram (kg) (RM25), beras lima kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :