Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang media kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku di Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kampung Tunku agih 500 baucar beli-belah kepada warga emas, OKU

SHAH ALAM, 7 FEB: Kira-kira 500 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku akan menerima baucar beli-belah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) secara berperingkat bermula hari ini.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei memaklumkan pengagihan baucar kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) itu diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kampung Tunku di Taman Paramount, Petaling Jaya.

“Pengagihan baucar Jom Shopping SMUE kepada mereka yang berdaftar dan menyambut hari jadi dari Januari dan Februari,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, penerima yang menerima jemputan melalui sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) dijemput hadir pada hari ini hingga Khamis bermula 10 pagi sehingga empat petang.

“Penerima juga perlu membawa kad pengenalan sebagai bukti pengenalan diri,” katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan syarat had kelayakan pendapatan isi rumah bagi penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan mulai tahun ini.

Penerima juga bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun berbanding RM100 tahun lalu serta khairat kematian RM500.


Pengarang :