Pegawai Khas (Kebajikan) kepada ADN Seri Serdang, Islah Ismail di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Serdang di Taman Puchong Permai pada 15 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Seri Serdang peruntuk RM120,000 bantu program Ihya’ Ramadan

SUBANG JAYA, 15 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang memperuntuk kira-kira RM120,000 tahun ini untuk program bantuan program Ihya’ Ramadan kepada surau dan masjid sekitar.

Pegawai Khas (Kebajikan) kepada wakil rakyatnya Islah Ismail berkata bantuan itu membabitkan 58 masjid dan surau di DUN Seri Serdang yang akan menerima sejumlah RM2,000.

“Ini adalah tradisi tahunan DUN Seri Serdang yang mana masjid dan surau akan diberi bantuan untuk program Ihya’ Ramadan.

“Jadi terpulang kepada pengurusan masjid untuk menggunakan bantuan itu bagi membiaya aktiviti sepanjang Ramadan. Ada yang gunakan untuk bayaran penceramah, moreh dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat DUN Seri Serdang di pekarangan Surau Ar-Ridhuan, Taman Puchong Permai, di sini hari ini.

Katanya bantuan biasanya akan disampaikan dalam bentuk cek kepada pihak pengurusan surau yang terlibat apabila bermulanya Ramadan.

“Program ini memang dinanti-nanti, setiap kali Ramadan pasti ada yang akan hubungi pejabat DUN bertanyakan sama ada program ini diteruskan atau sebaliknya,” katanya.


Pengarang :