Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Ekstrim Gua Damai, Gombak pada 2 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Sungai Tua buka kaunter Iltizam Selangor Penyayang ketika program jualan murah

SELAYANG, 2 FEB: Pusat khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bakal membuka kaunter penerangan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) ketika program Jualan Ehsan Rakyat berlangsung.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata inisiatif bagi meningkatkan jumlah pendaftaran penduduk sekali gus membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Jelasnya tindakan itu dibuat selepas merasakan maklumat berhubung skim ISP antaranya Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kurang diterima rakyat.

“Selepas pilihan raya umum, ramai penduduk datang mendaftar kerana sepanjang tempoh kempen, kita uar-uarkan semua inisiatif terkandung dalam ISP.

“Jadi ini langkah susulan untuk sebarkan kepada penduduk. Memandangkan program jualan dikunjungi ramai, kita buka kaunter untuk sampaikan kepada penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

ISP disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) melibatkan peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat menerusi 45 program disediakan Kerajaan Negeri.

Skim INSAN, insurans percuma yang memberi perlindungan kepada enam juta rakyat dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri merupakan inisiatif prorakyat terbaharu yang diperkenalkan.


Pengarang :