Penyelaras DUN Teratai Alice Tan meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Lembah Maju, Ampang Jaya pada 8 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Teratai anjur program khas penerima baucar beli-belah Mac depan

Oleh Azian Aziz

AMPANG, 8 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai akan menganjurkan  program khas penyerahan baucar Jom Shopping kepada peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada Mac depan.

Penyelaras DUN Alice Tan berkata berdasarkan data pihaknya, lebih 4,000 peserta skim tersebut layak menerima baucar beli-belah bernilai RM150 namun mereka belum mengambilnya.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Kita mahu percepatkan urusan pemberian baucar kerana Hari Raya Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi.

“Sejak Januari lalu, kira-kira 2,000 warga emas berdaftar di DUN Teratai telah menerima baucar Jom Shopping.’’ katanya ketika ditemui selepas meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Lembah Maju hari ini.

Beliau turut meminta warga emas yang mencapai usia 60 tahun pada tahun ini dan belum mendaftar SMUE agar menyemak pusat mengundi sebelum datang ke pusat khidmat DUN Teratai.

“Jika mengundi di kawasan lain, penerima perlu pergi ke pusat khidmat di situ untuk mendaftar dan menebus baucar Jom Shopping,’’ katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan syarat had kelayakan pendapatan isi rumah bagi penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan mulai tahun ini.

Penerima juga bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun berbanding RM100 tahun lalu serta khairat kematian RM500.


Pengarang :