Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Teratai di Taman Lembah Maju, Ampang Jaya pada 8 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Teratai susun 16 program jualan murah, sasar manfaat sekitar 8,000 keluarga

Oleh Azian Aziz

AMPANG, 8 FEB: Hampir 8,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai disasar menerima manfaat program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri yang bermula sejak Januari hingga Mac ini.

Penyelaras DUN Alice Tan berkata pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun 16 program Jelajah Ehsan Rakyat di lokasi terpilih sepanjang tempoh tersebut.

Penyelaras DUN Teratai Alice Tan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebanyak enam program jualan murah telah selesai. Penduduk di DUN Teratai boleh menyemak jadual 10 lagi program akan datang di Facebook Penyelaras DUN Teratai.

“Program JER terdekat ialah esok di tepi surau Taman Saga. Minta penduduk yang ingin membeli telur dan ayam datang awal kerana dua barangan ini cepat habis,’’ katanya ketika ditemui di lokasi jualan murah di Pangsapuri Lembah Maju hari ini.

Menurut Alice, program JER di DUN Teratai sentiasa mendapat sambutan namun hari ini berlaku pertukaran tempat di saat akhir menyebabkan ramai yang tidak sempat dimaklumkan lokasi yang baharu.

“Walaupun penduduk yang datang hari ini tidak ramai seperti selalu iaitu hampir 300 orang, barangan seperti ayam, telur dan beras tetap habis,’’ katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :