Penduduk yang terperangkap akibat banjir diselamatkan anggota bomba di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Terengganu pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Elaun khas pasukan bomba sukarela dinaik kepada RM3,000

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengumumkan kenaikan elaun khas kepada pasukan bomba sukarela daripada RM1,500 kepada RM3,000 tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata peningkatan elaun sebanyak 100 peratus itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada 357 pasukan bomba sukarela di seluruh negara yang menjalankan kerja secara sukarela tanpa gaji dan elaun.

“Kita akan mempertimbangkan untuk peningkatan (elaun) lagi pada tahun hadapan bergantung kepada keadaan kewangan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling hari ini.

Nga berkata menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima peruntukan RM206.64 juta bagi memperkasakan perkhidmatan ‘wira merah’ itu.

Beliau berkata, antara lain, daripada jumlah itu RM46.51 juta disalurkan bagi perolehan peralatan, RM18.2 juta untuk perolehan kelengkapan kebombaan dan 12 ekor anjing pengesan, serta RM129.93 juta bagi pembinaan bangunan baharu serta menaik taraf balai bomba.

Selain itu, Nga berkata pihaknya sedang mempertimbang cadangan memperkenalkan dan mewajibkan kursus prapenyewaan bagi memberi kesedaran serta pengetahuan kepada bakal penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR).

Ia sebagai usaha memastikan persekitaran perumahan itu lebih kondusif selain memastikan mereka yang tinggal di rumah mampu milik itu mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab menjaga kebersihan rumah termasuk infrastruktur dan fasiliti awam.

“Oleh kerana itu budaya menjaga dan menyelenggara kemudahan awam patut diserapkan dalam hati naluri setiap pengguna supaya setiap mereka yang duduk itu memainkan peranan menjaga kebersihan, ini adalah salah satu ciri-ciri masyarakat madani,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak menyarankan supaya kerajaan memperkenalkan kursus berkenaan selepas melihat kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membaiki kemudahan rosak di PPR seperti lif, akibat vandalisme.

-BERNAMA


Pengarang :